Malaikat



Malaikat ialah makhluk Allah yang diciptakan daripada cahaya. Malaikat tidak sama seperti makhluk biasa kerana malaikat itu ghaib tetapi kita wajib mempercayainya.
Malaikat tidak sama seperti manusia. Malaikat bukan lelaki atau perempuan, tidak bersuami atau beristeri, tidak berbapa dan tidak beranak. Mereka tidak tidur, tidak makan dan tidak minum dan boleh menyerupai bermacam-macam rupa dengan izin Allah.


Firma Allah Taala yang bermaksud : "Rasul (Muhammad) telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada nya (Al-Quran) dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman.Semua beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya.(Mereka berkata) "kami tidak membeda-bedakan seorang pun dari Rasulnya .Dan mereka berkata "Kami dengar dan taat.Ampunilah kami Ya Tuhan kami dan kepada Mu tempat kami kembali". (Al-Baqarah : 285)


Malaikat yang wajib diketahui bersama tugas-tugasnya :


-Malaikat Jibril adalah penghulu kepada semua malaikat. Tugasnya menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah kepada para Nabi dan Rasul.
-Malaikat Mikail bertugas membawa rezeki dan nikmat. Rezeki yang kita nikmati seperti makan, minum, angin, hujan dan udara.
-Malaikat Izrail ditugaskan mengambil nyawa segala makhluk
-Malaikat Israfil ditugaskan meniup sangkakala.
-Malaikat Raqib ditugaskan mencatat segala amalan kebajikan.
-Malaikat Atid ditugaskan mencatat segala amalan kejahatan.
-Malaikat Munkar ditugaskan menyoal mayat di dalam kubur.
-Malaikat Nakir ditugaskan menyoal mayat di dalam kubur.
-Malaikat Ridhuwan menjaga syurga.
-Malaikat Malik menjaga neraka.


Dialog Murid 

Azmi     : Akmal, awak ingat tak jumlah malaikat yang wajib diketahui serta tugasnya?
Akmal   : Jumlahnya ada 10. Antaranya Jibril, Mikali, Izrail, Israfil, Raqib, Atid, Munkar, Nakir, Ridhuwan   dan Malik.
Azmi     : Saya rasa kita patut mengingati nama-nama malaikat ini sepanjang masa.
Akmal   : Sangat baik cadangan awak tetapi bagaimana kalau ada kawan-kawan kita yang tidak beriman kepada malaikat?
Azmi     : Boleh menjejaskan iman kerana beriman dengan malaikat adalah salah satu daripada Rukun Iman.




Pengertian Mukjizat, Tujuan & Bahagiannya



Mukjizat (معجزة) ialah perkara luar biasa dan hanya berlaku kepada Rasul. Antara contoh mukjizat ialah pokok kurma dan batu memberi salam, awan mengiringi dan melindungi Baginda dalam perjalanan ke Syam untuk berniaga bersama bapa saudaranya Abu Talib, Nabi Ibrahim dibakar tetapi tidak terjejas, Nabi Isa mengubati orang sakit sopak dan sebagainya.


Tujuan Allah mengurniakan mukjzat kepada para Rasul ialah untuk


  1. Membuktikan kebenaran para Rasul
  2. Menguatkan ajaran yang dibawa
  3. Melemahkan dan menghalangkan musuh yang menentang
  4. Untuk menarik minat orang ramai yang kurang tajam akal fikirannya, supaya mempercayai kenabian dan kerasulan seseorang pesuruh Allah.
  5. Untuk menghindarkan orang ramai daripada mendapat dakyah-dakyah nabi palsu yang cuba mengaku dirinya sebagai Nabi atau Rasul.
  6. Untuk menolong Rasul-Rasul menjalankan tugas dengan sempurna, berhadapan dengan penentang dan musuh islam.
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah S.A.W bersabda "Tiap-tiap Nabi telah diberi oleh Allah S.W.T berbagai-bagai mukjizat yang dapat menarik kaumnya beriman dan saya hanya diberi Allah mukjizat Al-Quran dan dengan itu saya mengharap bawalah pengikut yang banyak di Hari Kiamat kelak".



Allah S.W.T mengurniakan 2 jenis Mukjizat iaitu :


Mukjizat Hissi iaitu mukjizat yang dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera. Contohnya pokok kurma memberi salam kepada Rasulullah.


Mukjizat Maknawi ialah mukjizat yang dapat difahami dengan akal. Contohnya Al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur

~ Adab Berguru ~



GURU ialah insan yang berperanan memberi pendidikan kepada anak-anak dan masyarakat. Guru bertanggungjawab membentuk generasi yang beriman, berilmu pengetahuan ,berketerampilan dan berakhlak mulia. Dialah cahaya penyuluh ketika kegelapan dan ketika haluan menjadi sukar.

Adab-adab mulia ketika berguru:
1.Memberi salam apabila bertemu
2.Bercakap menggunakan bahasa yang sopan
3.Manis muka menerima teguran dan nasihat guru
4.Membuat kerja yang disuruh dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh
5.Menegur atau bertanya khabar apabila bertemu guru di luar kawasan sekolah
6.Mendoakan kebaikan dan kebajikannnya
7.Mengeratkan silaturahim walaupun telah tamat pengajian
8.Menziarahi guru ketika berkelapangan / di hari perayaan
9.Menghormati guru sepanjang masa
10.Mengucap terima kasih kepada guru apabila memperolehi kejayaan

Hikmah apabila beradab dengan guru:
1. Ilmu yang dipelajari diberkati Allah
2. Membentuk peribadi dan akhlak mulia
3. Memperolehi kejayaan dunia dan akhirat
4. Mudah mengingati dan memahami pengajaran guru
5. Ilmu yang dipelajari akan berkekalan dan diamalkan
6. Sentiasa terdorong mengamalkan sifat terpuji
7. Minda cerdas dan pantas
8. Terlindung daripada perkara terkeji

Adab-adab terpuji berguru mengikut Imam Al Ghazali :
1. Apabila bertemu dengan guru hendaklah memberi salam.
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3. Jangan bercakap sebelum guru bertanya.
4. Jangan bertanya sebelum meminta izin dan dizinkan.
5. Jangan menyangkal (tunjuk rasa tidak puas hati) terhadap guru.
6. Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya.
7. Jangan berbisik dengan rakan di sebelah ketika guru mengajar.
8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan (bermain) di hadapan guru.
9. Jangan bertanya banyak soalan kepada guru ketika guru letih.
10.Apabila guru berdiri hendaklah kita berdiri sebagai menghormatinya.
11.Jangan mengikuti guru dengan pelbagai pertanyaan setelah guru 
meninggalkan majlis.
12.Jangan bertanyakan guru di tengah perjalanan sehingga dia sampai
ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
13.Jangan bersikap buruk sangka terhadap pekerjaan guru.

Imam Al-Syafie pernah mengungkap:

•“Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya.” 


Antara hak guru yang perlu ditunaikan oleh murid-murid adalah :

1. Merendah diri terhadap guru.

2. Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.

3. Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.

4. Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.

5. Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.

6. Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.

7. Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.

8. Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.

9. Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.

10. Tidak meninggal majlis pengajaran guru sebelum waktunya kecuali uzur syar'i.

Tanpa guru siapalah kita.....walau sedikit ilmu yang kita terima namun mereka tetap guru kita.

10 Wasiat Imam Shafie Kepada Umat Islam



10 PESANAN IMAM SHAFIE

Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat Islam umumnya. Pesanan Imam Shafie yang patut dihayati dan diikuti oleh umat Islam ialah: ” Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara: 

1.Hak kepada diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
A2.Hak kepada malaikat maut: mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang di zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH 

3.Hak kepada kubur: membuang tabiat suka menabur fitnah, tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yg dizalimi.

4.Hak kepada Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

5.Hak kepada mizan(neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menahan kesulitan.

6.Hak kepada sirat(titian yang merintangi neraka pada hari kiamat): membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjamaah.

7.Hak kepada Malik(malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

8.Hak kepada Ridhzuan(malaikat penjaga syurga): merasa redha kepada qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan maksiat. 

9.Hak kepada Nabi MUhd SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari ALLAH. 

10.Hak kepede ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.